UTC Perak terletak di Jalan Dato' Onn
Jaafar, Ipoh.
Nama asal jalan ini adalah Jalan Cockman bagi
memperingati seorang pegawai tentera British iaitu mendiang Herbert
James Cockman. Beliau merupakan seorang Major bagi Batalion Pertama
Negeri Perak kepada Angkatan Sukarelawan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
pada ketika itu. Rekod yang didapati pada Komisyen Pusara Perang
Komanwel (Commonwealth War Graves Commission) mencatatkan tarikh
kematian mendiang Major Cockman pada 15 Februari 1942 di umur yang agak
muda iaitu 43 tahun. Beliau dikurniakan bintang Distinguished Flying
Cross (DFC) dan Efficiency Decoration (ED) oleh kerajaan British. Nama
beliau terpahat di Singapore Memorial pada Kolum 389. Beliau
meninggalkan seorang balu bernama Mary Campbell Cockman.
Jalan
Cockman terdahulunya diberi nama Jalan Togo pada zaman pemerintahan
Jepun sempena seorang Admiral Jepun yang bergelar Tōgō Heihachirō.
Berketurunan bangsawan dan berpendidikan di Britain beliau dilatih
semenjak remaja sebagai seorang 'samurai' sepadan dengan susur-galur
keluarganya.
Beliau merupakan seorang panglima angkatan tentera laut
Jepun yang digeruni Barat setelah berjaya memimpin dan memenangi Perang
Russo-Jepun, iaitu antara Russia dan Jepun pada tahun 1905. Taktik
peperangan laut beliau telah dengan mudah menumpaskan 33 dari 35 buah
kapal Russia, sejurusnya menempatkan Jepun di aras yang setanding dengan
kuasa Barat. Oleh itu beliau dilantik menjadi ketua 'Navy General
Staff' dan sejurusnya kaunselor perang kepada Maharaja Jepun. Pada
tahun 1913 beliau dilantik menjadi Admiral Angkatan Laut Jepun dan
diberi amanah untuk membimbing Putera Hirohito. Walaubagaimanapun tiada
rekod menunjukkan beliau pernah menjejakkan kaki di tanahair kita.
Masyarakat Cina pula menggelarkan jalan ini 'Gwok Man Gaai' (國民街).
Jalan
ini ditukar nama kepada Jalan Cockman oleh pentadbiran British sejurus
selepas tamat penjajahan Jepun serta peperangan dan kekejaman yang telah
dialami penduduk tempatan. Akhirnya pihak berkuasa tempatan telah
memilih untuk mengabadikan nama allahyarham Dato' Sir Onn Bin Dato'
Jaafar, iaitu seorang negarawan ulung di negara kita yang tercinta ini
sebagai nama jalan ini.
Dato'
Onn Jaafar, sebagaimana beliau lebih dikenali; merupakan pengasas UMNO
(United Malays National Organisation) ataupun Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (ڤرتوبوهن کبڠساءن ملايو برساتو) iaitu PEKEMBAR,
diperpendekkan. Parti politik ini telah melakar sejarah dunia dengan
tertubuhnya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tahun 1957
bagi orang-orang melayu beserta kaum minoriti yang lain yang diperintah
oleh Raja-Raja Melayu sesudah kerajaan Melaka tumbang di tangan penjajah
pada tahun 1511. Walaupun allahyarham sendiri tidak pernah menjadi
Perdana Menteri beliau tetap disayangi oleh segenap rakyat atas jasa dan
sumbangan beliau yang tidak terbanding itu.
Dato'
Onn dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Bukit Gambir, Johor dan adalah
anak kepada Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Dato' Jaafar Bin Haji
Muhammad. Berdarah kerabat dan dipelihara serta diberi pendidikan oleh
Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, beliau
dihantar bersekolah di England pada usia 8 tahun sebagai pengiring
kepada putera-putera Johor. Namun setelah dewasa beberapa isu
pergeseran dan teguran beliau terhadap baginda sultan telah membuatkan
beliau dibuang negeri ke Singapura.
Antara
kerjaya beliau adalah sebagai seorang Leftenan bagi Johor Malay Force
(Pasukan Tentera Johor), ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ketua
Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor, wartawan, pengarang akhbar,
Pegawai Daerah Batu Pahat dan Menteri Besar Johor.
Beliau
menghadapi liku-liku politik yang menyaksikan beliau terpaksa
meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan kemudiannya menubuhkan
beberapa parti lain yang selari dengan kefahaman dan arus politik beliau
setelah itu. Pada 19 Januari 1962 allahyarham telah menghembuskan
nafas yang terakhir akibat sakit jantung. Perdana Menteri Malaysia yang
ketiga iaitu allahyarham Tun Hussein Bin Dato' Onn merupakan anakanda
beliau dan legasi beliau kini disambung cucunda beliau iaitu Datuk Seri
Hishamuddin Bin Tun Hussein. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh
beliau. Amin.
Bibliografi: