Monday, February 8, 2021

Sejarah Asal-Usul Nama Tempat - Jalan Dato' Onn Jaafar, Ipoh

UTC Perak terletak di Jalan Dato' Onn Jaafar, Ipoh.  

Nama asal jalan ini adalah Jalan Cockman bagi memperingati seorang pegawai tentera British iaitu mendiang Herbert James Cockman.  Beliau merupakan seorang Major bagi Batalion Pertama Negeri Perak kepada Angkatan Sukarelawan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada ketika itu.  Rekod yang didapati pada Komisyen Pusara Perang Komanwel (Commonwealth War Graves Commission) mencatatkan tarikh kematian mendiang Major Cockman pada 15 Februari 1942 di umur yang agak muda iaitu 43 tahun.  Beliau dikurniakan bintang Distinguished Flying Cross (DFC) dan Efficiency Decoration (ED) oleh kerajaan British.  Nama beliau terpahat di Singapore Memorial pada Kolum 389.  Beliau meninggalkan seorang balu bernama Mary Campbell Cockman.

Jalan Cockman terdahulunya diberi nama Jalan Togo pada zaman pemerintahan Jepun sempena seorang Admiral Jepun yang bergelar Tōgō Heihachirō.  Berketurunan bangsawan dan berpendidikan di Britain beliau dilatih semenjak remaja sebagai seorang 'samurai' sepadan dengan susur-galur keluarganya.  
 
Beliau merupakan seorang panglima angkatan tentera laut Jepun yang digeruni Barat setelah berjaya memimpin dan memenangi Perang Russo-Jepun, iaitu antara Russia dan Jepun pada tahun 1905.  Taktik peperangan laut beliau telah dengan mudah menumpaskan 33 dari 35 buah kapal Russia, sejurusnya menempatkan Jepun di aras yang setanding dengan kuasa Barat.  Oleh itu beliau dilantik menjadi ketua 'Navy General Staff' dan sejurusnya kaunselor perang kepada Maharaja Jepun.  Pada tahun 1913 beliau dilantik menjadi Admiral Angkatan Laut Jepun dan diberi amanah untuk membimbing Putera Hirohito.  Walaubagaimanapun tiada rekod menunjukkan beliau pernah menjejakkan kaki di tanahair kita.

Masyarakat Cina pula menggelarkan jalan ini 'Gwok Man Gaai' (國民街).

Jalan ini ditukar nama kepada Jalan Cockman oleh pentadbiran British sejurus selepas tamat penjajahan Jepun serta peperangan dan kekejaman yang telah dialami penduduk tempatan.  Akhirnya  pihak berkuasa tempatan telah memilih untuk mengabadikan nama allahyarham Dato' Sir Onn Bin Dato' Jaafar, iaitu seorang negarawan ulung di negara kita yang tercinta ini sebagai nama jalan ini. 
 
Dato' Onn Jaafar, sebagaimana beliau lebih dikenali; merupakan pengasas UMNO (United Malays National Organisation) ataupun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (ڤرتوبوهن کبڠساءن ملايو برساتو) iaitu PEKEMBAR, diperpendekkan.  Parti politik ini telah melakar sejarah dunia dengan tertubuhnya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tahun 1957 bagi orang-orang melayu beserta kaum minoriti yang lain yang diperintah oleh Raja-Raja Melayu sesudah kerajaan Melaka tumbang di tangan penjajah pada tahun 1511.  Walaupun allahyarham sendiri tidak pernah menjadi Perdana Menteri beliau tetap disayangi oleh segenap rakyat atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbanding itu.

Dato' Onn dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Bukit Gambir, Johor dan adalah anak kepada Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Dato' Jaafar Bin Haji Muhammad.  Berdarah kerabat dan dipelihara serta diberi pendidikan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, beliau dihantar bersekolah di England pada usia 8 tahun sebagai pengiring kepada putera-putera Johor.  Namun setelah dewasa beberapa isu pergeseran dan teguran beliau terhadap baginda sultan telah membuatkan beliau dibuang negeri ke Singapura.  

Antara kerjaya beliau adalah sebagai seorang Leftenan bagi Johor Malay Force (Pasukan Tentera Johor), ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor, wartawan, pengarang akhbar, Pegawai Daerah Batu Pahat dan Menteri Besar Johor.

Beliau menghadapi liku-liku politik yang menyaksikan beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan kemudiannya menubuhkan beberapa parti lain yang selari dengan kefahaman dan arus politik beliau setelah itu.  Pada 19 Januari 1962 allahyarham telah menghembuskan nafas yang terakhir akibat sakit jantung.  Perdana Menteri Malaysia yang ketiga iaitu allahyarham Tun Hussein Bin Dato' Onn merupakan anakanda beliau dan legasi beliau kini disambung cucunda beliau iaitu Datuk Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.  Amin.

Bibliografi:







No comments:

Post a Comment